KITA seharusnya bersyukur kerana dalam tempoh sebulan ini rakyat terutama umat Islam menyambut tiga sambutan penting iaitu Ramadan, ulang tahun hari kemerdekaan dan Hari Raya Aidilfitri.
Umat Islam mula berpuasa pada 10 Ogos lalu dan ia jatuh serentak dengan bulan kemerdekaan yang kemuncaknya akan diraikan pada 31 Ogos ini oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Kira-kira 10 hari selepas itu, umat Islam akan merayakan pula hari lebaran iaitu Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda berakhirnya Ramadan.
Bagaimanapun kali ini penulis tidak mahu menyentuh mengenai puasa atau keghairahan umat Islam di negeri ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagaimana tulisan lalu.
Apa yang menarik perhatian penulis kali ini adalah kesuraman sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 di negeri ini yang jatuhnya hampir serentak dengan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Keghairahan membuat persiapan raya dikatakan merupakan faktor utama sambutan hari kemerdekaan seolah-olah dilupakan oleh sebahagian rakyat negeri ini .
Sebenarnya tidak salah untuk membuat persiapan awal untuk menyambut raya bagi mengelakkan pelbagai masalah terutama kesesakan di tengah-tengah pusat bandar Kuantan pada saat-saat akhir.
Namun, di sebalik keterujaan umat Islam menyambut raya yang hanya tinggal 18 hari lagi, bagaikan tiada sebarang persediaan pula untuk menyambut Hari Kemerdekaan.
Ke mana hilangnya semangat patriotik kita semua?
Dengan Hari Kemerdekaan ke-53 hanya tinggal kira-kira seminggu, masih belum ada kibaran Jalur Gemilang pada premis perniagaan dan kediaman.
Jalur Gemilang hanya dapat dilihat di beberapa bangunan kerajaan. Namun, tidak semua jabatan kerajaan berbuat demikian. Bilangannya juga boleh dikira dengan jari.
Jika di atas jalan raya, hanya satu, dua kenderaan yang dilihat memasang Jalur Gemilang, itu pun pada kenderaan awam seperti teksi dan bas atau kenderaan milik jabatan dan agensi kerajaan.
Masih tidak kelihatan kenderaan persendirian memasang Jalur Gemilang sebagaimana yang dapat dilihat pada sambutan tahun-tahun lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar ini mendapati bagaikan tiada persiapan menyambut hari kemerdekaan, mungkin kerana ditenggelami oleh persiapan sebahagian penduduk menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Jika umat Islam mungkin terlalu menumpukan perhatian untuk melakukan persiapan raya sehingga 'terlupa' untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan negara, bagaimana pula dengan kaum-kaum lain?
Seingat penulis, tiada sebarang perayaan keagamaan yang perlu disambut oleh kaum bukan beragama Islam dalam tempoh terdekat ini.
Lihat sahaja sebahagian besar premis perniagaan di bandar-bandar utama di Pahang yang merupakan milik bukan Melayu yang masih tidak memasang Jalur Gemilang.
Apa pun Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri bukan alasan untuk tidak menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.
Orang ramai juga tidak boleh mengharapkan kerajaan negeri untuk memberi Jalur Gemilang percuma yang tidak berapa sen harganya.
Miskin sangatkah warga Pahang hingga tidak mampu membeli Jalur Gemilang atau rakyat negeri ini selama ini telah ditanam dengan jiwa subsidi.
Kemerdekaan negara bukan diperoleh dengan percuma. Ia terpaksa dibeli dengan darah, keringat dan air mata oleh pejuang dan pemimpin terdahulu yang mahu melihat anak bangsanya hidup makmur di bumi bertuah ini.
Sebagai negeri yang menjadi tanah tumpah darah Mat Kilau dan Datuk Bahaman, rakyat Pahang seharusnya perlu mendahului dalam menjiwai semangat patriotik berbanding penduduk negeri lain.
Namun yang menyedihkan, semangat itu kian luntur bersama peredaran zaman.
Apakah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menelan belanja berjuta-juta ringgit masih tidak dapat menanam semangat patriotik ribuan remaja dan belia negeri ini untuk menyambut hari kemerdekaan negara?
Ingatlah, tanpa keamanan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini, mungkin kita tidak dapat berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kemeriahan.
Weh..ko ciplak dari Utusan ni tak takut kena saman Copyright ka..jangan weh..!
BalasPadam